TERAPI PERGERAKAN / TARIAN

Pelajar tingkatan enam sering merasa tertekan dengan pembelajaran, kerja kursus, viva dan peperiksaan. Oleh yang demikian, adalah penting untuk mengadakan aktiviti terapi pergerakan  atau tarian bagi melepaskan perasaan negatif dan melegakan badan mereka yang tegang.

Pelajar Aliran Sains kurang pergerakannya jika dibandingkan dengan pelajar Aliran Sastera yang lebih aktif dan kreatif dalam pergerakan mereka. Aktiviti ini boleh dijalankan pada waktu kelas ganti.  Kaunselor boleh memainkan lagu pilihan pelajar dengan menggunakan telefon bimbit pintar dan pembesar suara tanpa wayar.

Pelajar berdiri dalam bentuk bulatan. Aktiviti bermula dengan pelajar yang sukarela menjadi orang pertama untuk mula pergerakan atau tariannya, lebih kurang 30 saat , pelajar tersebut akan menyebut nama rakannya dan aktiviti ini akan disambung oleh rakan yang merupakan orang kedua dalam aktiviti pergerakan, setiap orang mempunyai pergerakan yang berlainaan sehingga semua pelajar berpeluang melakukan aktiviti tersebut. Aktiviti ini diteruskan sehingga lagunya tamat.

Pelajar mengamalkan mindfulness dengan memberi fokus kepada orang yang melakukan pergerakan atau menari mengikut rentak muzik. Pelajar teruja dengan rakan yang kreatif dan pandai menari. Pelajar akan ketawa dengan pergerakan yang kelakar. Pelajar merasa seronok dan gembira dengan aktiviti tersebut.

Kaunselor boleh membuat pemerhatian semasa pelajar melakukan aktiviti tersebut. Pelajar yang pasif dan tidak boleh berfokus boleh digalakkan atau belajar dari rakan yang lain dengan melakukan aktiviti tersebut.

Terapi Pergerakkan / Tarian mengandungi tiga elemen iaitu sosial, fizikal dan kognitif. Elemen sosial kerana dapat berpeluang melakukan aktiviti tersebut bersama rakan-rakannya. Elemen fizikal kerana pergerakkan tersebut boleh meningkatkan denyutan jantung dan elemen kognitif kerana pelajar perlu menggunakan kognitif untuk ingat dan ikut pergerakkan yang dilakukan oleh rakan-rakannya. Aktiviti Pergerakkan tersebut juga membolehkan otak menghasilkan endorphin iaitu hormon yang baik dan gembira.

Pada kesimpulannya, aktiviti terapi pergerakkan atau tarian ini dapat membantu pelajar membina keyakinan diri, perubahan tingkah laku dari pasif ke aktif, minda cergas berfikir dan mengamalkan mindfulness dengan memberi tumpuan kepada pergerakkan rakan-rakannya, perasaan berubah dari tertekan kepada relaksasi dan secara keseluruhanya dapat membantu pelajar dari segi minda, perasaan dan tingkah laku ke arah yang positif. Ini akan dapat membantu pelajar mencapai kecemerlangan dalam akademik mereka.