PERSEDIAAN PENTING UNTUK PERMOHONAN UPU SELEPAS STPM

Pelajar tingkatan enam yang berada di tingkatan enam sebilangan besar masih tidak pasti tentang halatuju selepas STPM. Oleh yang demikian, kaunselor perlu memainkan peranan agar pelajar dapat mengenalpasti halatuju mereka selepas STPM.

Pengambilan pelajar ke universiti tidak lagi hanya melihat kecemerlangan akademik tetapi melihat sikap, sahsiah dan emosi pelajar. Harvard Universiti, USA yang merupakan universiti Utama dan terkenal di dunia mengambil pelajar yang berintegriti, matang, emosi yang stabil dan kerja amal yang dilakukannya. Pelajar yang membuat permohonan ke Universiti di Singapore juga perlu menulis esei sebanyak 350 patah perkataan tentang apa yang dilakukan oleh individu tersebut dan memberi impak kepada orang lain.

Pelajar yang mendapat pngk 4.0 tidak mendapat tawaran program pergigian di USM sedangkan pelajar yang mendapat pngk 3.75 telah berjaya mendapat tawaran bagi program tersebut. Temuduga yang menentukan calon mana yang layak mendapat program yang ditawarkan. Pelajar seharusnya mengambil berat tentang pembentukan sahsiah unggul dan sikap yang positif selain dari pencapaian akademik yang cemerlang.

Pelajar perlu tahu tentang syarat am dan syarat khas apabila membuat permohonan program UPU. Pelajar dari aliran Sains atau Sastera yang ingin memohon program Undang-undang di UM perlu mendapat sekurang-kurangnya pngk 3.0 , mendapat sekurang-kurangnya Gred B+ dalam Pengajian Am, Gred B+ dalam BM dan Gred A- dalam BI, Muet band 4. Manakala program Undang-undang di UUM perlu mendapat pngk sekurang-kurangnya 2.75, Gred B dalam mata pelajaran Sejarah, Gred C dalam BM dan BI dalam SPM. Muet band 4 atau Muet band 3 dan BI A- dalam SPM.

Ramai pelajar yang membuat permohonan UPU dan meletakkan 12 pilihan program tidak membuat semakan syarat khas bagi program tersebut. Malah ada yang malas hendak mengisi 12 pilihan program hanya mengisi 5 pilihan sahaja. akibat daripada sikap ‘tidak apa’ dan tidak membuat semakan , tidak berbincang dengan kaunselor maka ini akan menyebabkan mereka tidak berjaya mendapat tawaran di Universiti.

Ada juga pelajar yang telah membuat 12 pilihan program tetapi tidak berminat hendak melanjutkan pelajaran ke Universiti awam apabila mereka ditawarkan program pilihan mereka. Alasan yang diberikan ialah mereka tidak sanggup meninggalkan keluarga mereka dan pergi ke tempat yang jauh untuk belajar.

Ada yang tidak membuat permohonan UPU kerana mempunyai masalah kewangan atau masalah keluarga. Pelajar dinasihatkan membuat permohoan UPU dan membuat tangguhan satu semester dengan memberikan surat kepada pihak universiti sekiranya mereka tidak dapat meneruskan pelajaran pada ketika itu.

Ada yang kerja selepas STPM sehingga lupa membuat permohonan UPU dan pelajar ini tidak dapat membuat rayuan kerana tidak membuat permohonan UPU. Universiti awam akan memberi peluang kepada pelajar yang gagal dalam permohonan UPU fasa 1 dan 2 untuk membuat permohonan tersebut. Walau bagaimanapun, pilihan program yang ditawarkan oleh universiti adalah terhad

Pelajar sering lupa kata laluan selepas pendaftaran pertama dalam permohonan UPU dan ada yang tidak mengisi maklumat dengan lengkap seperti ibu bapa yang hanya memiliki kad pengenalan merah atau ibu bapa bukan warganegara Malaysia. Begitu juga dengan pelajar yang mempunyai sijil kelahiran yang mana tidak ada maklumat bapa kandungan, pelajar masih boleh mengisi maklumat tersebut dengan menggunakan no kad pengenalan pakcik atau saudara untuk membuat pendaftaran tersebut.

Pelajar harus menyemak Tarikh penting permohonan UPU atau Tarikh Pembelian No Pin di BSN dengan menurun muat UPU App di dalam telefon bimbit agar semakan senang dibuat pada bila-bila masa.

Pelajar tingkatan enam perlu merujuk kaunselor atau guru kelas atau guru mata pelajaran sekiranya menghadapi masalah dalam permohonan UPU. Pelajar juga boleh mendapat maklumat dari pihak UPU melalui emel UPU.

Pada keseluruhnanya, pelajar harus bertanggungjawab untuk membuat semakan syarat khas bagi 12 pilihan program dengan teliti dan sebarang program yang perlu temuduga pelajar perlu menunjukkan bakat, keyakinan dan persediaan yang cukup sebelum temuduga dijalankan. Pelajar yang gagal dalam permohonan UPU pertama jangan putus asa, membuat pilihan 4 program dengan teliti dan masih tidak dapat tawaran selepas fasa 2, pelajar perlu rajin menyemak pengiklanan tawaran program ‘second intake’ di laman rasmi universiti .