DARI KETAGIHAN PERMAINAN KOMPUTER KE HOBI BERBASIKAL

Amin ialah seorang murid lelaki yang size badan sederhana dan bercermin mata dari kelas tingkatan satu mula menerima perkhidmatan kaunseling kerana bermasalah ketagihan permainan internet.  Amin merupakan anak tunggal yang mana ibu seorang Akauntan dan bapa merupakan seorang Jurutera yang sering bekerja di luar negara. Perhubungan Amin dengan ibu kurang baik kerana ibu sering menghalangnya bermain permainan komputer. Perhubungan menjadi lebih teruk lagi apabila ibu merampas komputernya sehingga Amin hilang minat untuk belajar. Amin tidak mahu membuat kerja sekolah dan sering tidak hadir ke sekolah. Bapa yang balik dari luar negara sering berdepan dengan komputer sahaja dan jarang berkomunikasi dengannya.

Ketagihan komputer memberi impak yang negatif kepada Amin yang menyebabkan Amin ingin menjadi seorang  ‘hacker’ sebab boleh mendapat wang yang banyak. Ketagihan Amin bertambah teruk apabila Amin bermain sehingga waktu malam. Amin bermula bermain sejak di darjah lima dan pernah mencuri kad kredit ibunya membeli peralatan permainan komputer secara rahsia dan akhirnya diketahui oleh ibunya. Amin tidak berminat dengan aktiviti lain dan malas hendak keluar dari rumah. Amin seorang yang pendiam dan pasif personalitinya.  Ibu sering berjumpa dengan kaunselor dan meluahkan masalah anaknya kepada kaunselor.

Semasa di tingkatan dua, Ibu membuat keputusan berhijrah ke Australia bersama keluarganya, tujuan utama ialah kerana ingin memberi pendidikan yang lebih baik kepada anaknya. Ibu bersama klien duduk di Australia selama setahun kemudian mereka balik semula ke Malaysia . mereka daftar semula di sekolah yang sama kerana alamatnya berdekatan dengan sekolah. Amin tidak menduduki peperiksaan kerana berada di luar negara. Amin  menyambung pelajaran  semula di tingkatan empat.

Kaunselor menggalakkan Amin menyertai bengkel ‘Game Design’ yang dianjurkan oleh university swasta KDU. Amin mendapat pengalaman tentang bagaimana proses menghasilkan permainan komputer dan Amin mendapati bahawa bukan senang hendak menghasilkan suatu permainan komputer.

Kaunselor juga mengajak Amin menyertai kelab kayuhan dan menyertai beberapa aktiviti di Dataran Merdeka, FRIM Kepong dan kayuhan Amal. Pada permulaannya Amin agak keberatan ingin menyertai aktiviti tersebut tetapi selepas beberapa kali dipujuk, akhirnya dia bersetuju untuk mengikuti aktiviti kelab kayuhan yang dijalankan bersama rakan-rakan ahli kelab.

Amin bersama semua ahli kelab menyertai Kayuhan Amal yang dianjurkan oleh komuniti di Pusat Kepong. Penyelia petang merupakan komuniti di kawasan tersebut telah menganjurkan aktiviti gotong royong membersihkan pusat komuniti di kawasan tersebut kerana mereka ingin menghapuskan Nyamuk Aedes . Amin dengan pakaian sekolah dan selipar mengayuh basikal bersama ahli-ahli kelab dari sekolah ke kawasan perumahan Pusat Kepong dan menjalankan aktiviti gotong royong membersihkan kawasan tersebut . Amin jarang bercakap dengan rakan-rakan yang lain tetapi Amin berasa gembira kerana dapat berpeluang berinteraksi dengan rakan-rakan yang lain melakukan Kerja Amal. Mereka mengambil gambar pada akhir sesi gotong royong.

Kaunselor sekeluarga bersama ahli kelab kayuhan menjalankan aktiviti di FRIM Kepong pada hujung minggu, Amin hadir bersama dan memerhatikan rakan-rakan yang lain mengayuh basikal ke kawasan yang tinggi dan dapat melakukan aktiviiti yang mencabar. Amin tidak berani melakukannya dan tidak mampu mengayuh basikal menaiki bukit tersebut kerana basikalnya adalah basikal biasa. Walau bagaimanapun, Amin kagum melihat apa yang dilakukan oleh rakan-rakannya dan mula berminat tentang basikal.

Perubahan yang ketara berlaku pada Amin apabila Amin menyertai aktiviti kayuhan di Dataran Merdeka, pakaian tidak lagi kemeja sekolah dan selipar tetapi pakaian seragam kayuhan yang lengkap dengan kasutnya. Menurut ibunya anak sering meluangkan masa untuk mencari maklumat tentang basikal dalam internet.  keluarga hadir bersama-sama memberi sokongan kepada anaknya dengan menyertai aktiviti di Dataran, bapa mengambil gambar bangunan yang cantik  di persekitaran kawasan Dataran dan ibu yang berpakaian sukan berjalan-jalan di kawasan tersebut. Hubungan keluarga menjadi rapat  dengan adanya aktiviti tersebut. Penglibatan sekeluarga kaunselor dalam kayuhan tersebut juga telah menggalakkan penglibatkan keluarga Amin dalam aktiviti tersebut.

Sikap Amin telah berubah dari malas menjadi rajin, bertanggungjawab dan berdisiplin. Amin  dapat menghabiskan kerja sekolahnya  dan tidak ponteng sekolah lagi. Akhirnya Amin dapat melanjutkan pelajarannya di Universiti Australia setelah mendapat keputusan SPM yang cemerlang. Menurut ibunya, Amin tidak balik ke Malaysia semasa cuti semester kerana Amin lebih suka melakukan aktiviti berbasikal di sana.

Peribahasa China yang mengatakan ‘hendak membuat baik mengambil masa tiga tahun , hendak menjadi jahat hanya mengambil masa tiga hari sahaja.’ Transformasi Amin dari segi sikap dan personalitinya ke arah yang positif mengambil masa lima tahun.  Ibu mengucapkan terima kasih kepada kaunselor dan merasa gembira melihat perubahan sikap anaknya yang suka memberontak menjadi seorang remaja yang mematuhi nasihat ibubapa. Amin berjaya melanjutkan pelajaran dalam bidang Arkitek di  university  Australia.

Perubahan sedemikian bermula dari pendedahan Amin dalam bidang kayuhan. Aktiviti berbasikal adalah suatu aktiviti yang mencabar  atau dikenali sebagai ‘Adventure Therapy’ dan cabaran tersebut telah merawat psikologi Amin dengan meningkatkan penghargaan kendiri pelajar dan memberi semangat dan keyakinan  kepada Amin bahawa Amin boleh melakukannya dan mengatasi kelemahan diri. Transformasi berlaku dari pemikiran Amin yang negatif ke positif, fokus dari permainan komputer ke hobi berbasikal. Perasaan menjadi seronok, yakin diri dan tingkah laku berubah dari ponteng sekolah ke disiplin diri. Hubungan keluarga bertambah mesra dan Amin dapat belajar dengan baik kerana pemikiran, perasaan dan tingkah laku telah berubah ke arah yang positif.  

Tinggalkan komen